Thursday, October 27, 2011

Pengcahayaan Akuarium: Sistem dan Bulb – Bahagian 2



Pasaran masa kini menawarkan pelbagai produk sistem lampu yang sofistikated buat akuarium anda. Sebelum membuat pilihan sistem lampu bagi akuarium kesayangan, anda harus memahami asas spektrum dan tahap keterangan cahaya yang diperlukan oleh akuarium anda sendiri.

Bahagian Satu artikel ini menerangkan lampu mentol biasa dan sistem lampu fluorescent. Artikel ini akan menerangkan sistem lampu metal halide dan HQI serta LED.

Sistem Lampu Metal Halide

Sistem lampu Metal halide adalah amat berguna bagi segala jenis akuarium yang memerlukan cahaya yang tinggi, akuarium yang tinggi kedalamannya atau akuarium Fish Only (FO) di mana cahaya yang tinggi dan terang diperlukan bagi menerangi keseluruhan akuarium. Lampu jenis ini juga ideal bagi akuarium planted serta akuarium reef.

Sistem Metal Halide Soket Skru

Bulb Jenis Mogul
Walaupun penampilannya sama dengan lampu mentol biasa cuma bersaiz lebih besar, lampu metal halide menghasilkan cahaya yang lebih terang, watt dan juga warna spektrum. Bulb Metal halide terbahagi kepada dua jenis iaitu bulb kaca yang lebih besar mengandungi gas yang lebih sedikit dan juga bulb kaca padat dengan gas yang dihubungkan dengan beberapa siri wayar. Apabila arus melaluinya, gas di dalam akan menghasilkan cahaya.

Base bulb metal halide adalah beralur sepertimana bulb mentol biasa tetapi memerlukan sistem soket khusus yang dikenali mogul. Ballastdiperlukan bagi mengoperasikannya dan selalunya diletakkan di bawah kabinet supaya haba yang dibebaskan tidak terus memberi kesan kepada suhu air (kabinet memerlukan kipas kecil atau ventilation fan bagi membebaskan haba terperangkap). Bulb Metal Halide boleh didapati dengan pelbagai spektrum warna bermula  4,000K kepada 20,000K, dan watt sekitar 175 kepada 1,000 watts.

Sistem Lampu HQI

Lampu jenis ini dikenali sebagai Halogen Quartz Iodide (HQI) dan digunakan meluas bagi akuarium reef. HQI biasanya boleh didapati dengan spektrum warna daripada 10,000K dan 20,000K dan didapati dengan 150-250 watt. Lampu jenis ini mampu menjadikan coral hidup sihat dan haba yang terhasil adalah kurang panas daripada bulb metal halide.
Sistem lampu  HQI memiliki ciri yang sama dengan metal halide tetapi berbeza rekabentuknya. Ianya lebih kecil dan double-ended di kedua hujungnya serta soket yang khusus untuknya.
Sama dengan ciri bulb metal halide, lampu HQI juga mempunyai kekurangannya. Pertama, bulb ini mampu meletup sekiranya terkena percikan air ketika dalam keadaan sangat panas. Kedua, kaca penutup akuarium diperlukan bagi melindungi coral daripada ‘terbakar’  akibat sinaran UV yang dipancarkannya. Akhir sekali, bulb HQI ini membebaskan haba dan memerlukan kipas serta chiller bagi menjadikan suhu air selamat dan stabil.

Lampu LED

Penggunaan LED menjimatkan tenaga elektrik, kurang membebaskan haba dan kurang senggaraannya
Lampu LED iaitu Light Emitting Diode adalah sistem lampu yang baru diperkenalkan kepada hobi pemeliharaan ikan ini. Sistem ini adalah rangkaian litar diod-diod kecil secara bersiri bagi menghasilkan cahaya yang terang. Lampu jenis ini mempunyai banyak kebaikan iaitu tempoh hayat yang lama iaitu 100,000 jam, tidak membebaskan haba tinggi, watt yang rendah tetapi kecerahannya mampu menjadikan coral terus sihat. Lampu ini walaupun baru diperkenalkan tetapi telah mula digunakan dalam penjagaan akuarium reef. Oleh kerana bentuknya yang lebih nipis dan ringan serta tidak memerlukan ballast serta senggaraan yang kerap maka lampu jenis ini adalah alternatif baru kepada peminat ikan hiasan yang lain. Namun begitu, LED ini adalah mahal dan kadangkala harganya melebihi harga mana-mana jenis lampu akuarium yang lain.

LED adalah konsep baru diperkenalkan kepada hobi akuarium

Kesimpulan

Apabila anda ingin membuat keputusan memilih jenis lampu bagi akuarium anda, pastikan ianya mampu memenuhi kehendak organisma yang anda rancang untuk dipelihara. Adalah suatu kemestian memahami kehendaknya supaya organisma yang anda pelihara terus sihat dan dapat membiak di dalam akuarium anda. Ianya bukanlah suatu pembaziran namun adalah suatu pelaburan yang menjamin kelagnsungan hidupan akuatik anda. Akhir kata, tepuk dada dan tanyalah selera. Pastikan anda membuat pemilihan yang tepat supaya tidak kerugian kelak. Selamat Berakuatik dan Happy Reefing.

No comments:

Post a Comment